PBB 2026 : Memperkasa minda, mengembangkan pemikiran masyarakat



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 Julai. - Dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan masyarakat menjayakan budaya ilmu dan membaca serta membina apresiasi terhadap karya seni dan penulisan buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara konsisten menganjurkan Pesta Buku Brunei (PBB) setiap tahun.


PBB 2026 diadakan selama 11 hari bermula 25 Muharam hingga 6 Safar 1448 Hijrah bersamaan 11 hingga 21 Julai 2026 Masihi bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan PBB 2026, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Hadir sama, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, wakil-wakil perwakilan diplomatik asing, ketua-ketua jabatan, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), mantan Pengarah DBP, rakan korporat, ketua persatuan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), para pensyarah, penulis buku terbaharu, penerima Hadiah Buku Terlaris, para pegawai dan kakitangan kerajaan.


Antara pengisian semasa Majlis Perasmian berkenaan ialah penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2025, iaitu sebagai usaha DBP untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada buku yang dihasilkan oleh penulis tanah air, sama ada yang diterbitkan oleh penerbit kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan.


Pengiktirafan berkenaan dinilai daripada penulisan dan kebolehpasarannya. Hadiah Buku Terlaris bagi 2025 dianugerahkan kepada tiga kategori buku, iaitu Kategori Ilmiah, Kategori Sastera dan Kategori Kanak-Kanak.


Hadiah Buku Terlaris 2025 bagi Kategori Ilmiah diberikan kepada buku bertajuk 'Adab-Adab Dalam Islam ' yang ditulis oleh Pegawai-pegawai Ilmu Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) dan diterbitkan oleh JMK.


Manakala bagi Kategori Sastera pula diberikan kepada buku 'Kompilasi Pantun Mencetus Ilham, Nukilan Kalbu' karya Idlan Adley, terbitan DBP. Sementara Kategori Kanak-Kanak diberikan kepada buku bertajuk 'Real Ghost Stories of Borneo 7' nukilan Dr. Aammton Alias, terbitan M Content Creations Brunei.


Dengan adanya penghargaan Hadiah Buku Terlaris berkenaan dihasrat akan menggalakkan perkembangan penulisan, meningkatkan pertumbuhan industri perbukuan yang lebih kompetitif, meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan, menggalakkan penulis untuk mempromosi dan menjual buku masing-masing sekali gus mendukung dan memperkasa budaya membaca di negara ini.


Majlis turut menyaksikan pelancaran lapan buah buku terbaharu terbitan DBP.


Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya antara lain berkata, setiap tahun PBB terus konsisten menjadi wadah utama untuk menyuburkan budaya ilmu dan menyemak daya apresiasi masyarakat terhadap dunia perbukuan.


Jelasnya lagi, dengan mengangkat tema 'Brunei Membaca : Masyarakat Intelek', kita ingin menegaskan bahawa buku bukan sekadar helaian kertas malah ia adalah alat memperkasa minda dan mengembangkan pemikiran masyarakat.


Usaha murni ini katanya, adalah pelaburan jangka panjang kita untuk melahirkan generasi rakyat yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran demi mendukung visi Wawasan Brunei 2035.


Majlis Perasmian PBB 2026 juga diserikan dengan persembahan sketsa 'Jidar Al Jannah' oleh Akademi Panggung Seri Utama.


PBB merupakan acara tahunan anjuran DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai usaha untuk memupuk budaya membaca dan memperkaya ilmu dalam kalangan masyarakat. PBB tahun ini membawa tema 'Brunei Membaca : Masyarakat Intelek' yang menekankan kepentingan membaca sebagai asas pembentukan masyarakat yang berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.


Dalam era ledakan maklumat, budaya membaca membantu masyarakat menilai dan menapis maklumat secara bijaksana, di samping memupuk pembelajaran sepanjang hayat serta penghargaan terhadap buku sebagai wadah ilmu yang bernilai.


Pembudayaan membaca yang berterusan diyakini mampu melahirkan masyarakat intelek yang berpengetahuan, berakhlak mulia dan berpandangan jauh, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan negara yang progresif, berwawasan dan berteraskan ilmu.


Objektif penganjurannya adalah untuk memasyarakatkan budaya membaca dan membina apresiasi terhadap karya seni serta penulisan buku, mengukuhkan pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap budaya Brunei, bahasa dan sastera Melayu serta tulisan Jawi; menonjolkan identiti dan karya penulis buku, penggiat seni tempatan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).


Di samping itu, ia bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan perniagaan serantau dan antarabangsa bagi mengembangkan industri penerbitan buku Negara Brunei Darussalam.


PBB kali ini menampilkan sebanyak 35 pempamer dari dalam dan luar negara yang menawarkan jualan buku dengan potongan harga istimewa. Selain itu, pelbagai kegiatan dan aktiviti menarik bagi setiap peringkat umur turut disediakan.


PBB 2026 dibukakan bagi kunjungan orang ramai pada setiap hari bermula 11 hingga 21 Julai 2026, jam 8.30 pagi hingga 9.30 malam, kecuali 15 Julai 2026 dari jam 2.00 petang hingga 9.30 malam, dan Jumaat pada jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 9.30 malam.

Close